Friday, August 5, 2011

Hikmah Tolong Menolong


Tolong-menolong dapat memberi keringanan antara satu sama lain. Di samping itu tolong menolong juga dapat mengeratkan kasih sayang yang dipupuk di sebalik pekerjaan yang sama sama dilakukan, serta mewujudkan sikap saling hormat menghormati di antara individu dalam masyarakat. Maka dengan demikian suatu ummah itu dengan sendirinya akan kukuh dan dipandang mulia oleh bangsa lain.
Berdasarkan apa yang dimaksudkan oleh Imam Malik , seseorang itu tidak boleh mengabaikan pertolongan terhadap orang lain melainkan dia hendaklah memulakan terlebih dahulu akan segala kebaikan sebelum orang lain melakukan kebaikan kepadanya. Rasulullah s.a.w. amat gembira sekiranya umat Islam dapat memberi pertolongan dan menjamin kesempitan ekonomi orang lain dalam mengharungi kehidupan yang serba gawat, sepertimana satu kisah yang terjadi pada Rasulullah sendiri yang menceritakan keadaan kegawatan terhadap satu kaum.


Suatu kisah yang diriwayatkan oleh 'Umar bin Jabir, pada suatu hari, di waktu tengah hari beliau ('Umar bin Jabir) sedang berehat-rehat bersama-sama Rasulullah, tiba-tiba datang satu kaum yang sangat miskin dalam kehidupan seharian pekerjaan mereka sebagai pemburu, keadaan ekonomi sangat lemah. Rasulullah amat simpati dan berubah wajah menampakkan kesedihan. Oleh kerana kaum ini sangat mundur dan berhajat kepada pertolongan pada waktu itu, maka Rasulullah s.a.w. masuk ke dalam rumah kediamannya, kemudian beliau keluar dan menyuruh Bilal melaungkan azan dengan tujuan memanggil orang ramai supaya berhimpun. Kemudian Rasulullah sembahyang sunat dua rakaat dan baginda terus berpidato dengan tujuan meminta orang ramai agar memberi pertolongan dan bantuan kepada kaum yang datang supaya dapat melapangkan keadaan ekonomi kaum tersebut. Tidak lama kemudian datanglah seorang lelaki bersedekah dengan memberi wang ringgit, pakaian danjuga bahan-bahan makanan, selepas itu diikuti beberapa orang lelaki yang terdiri dari pada golongan Ansar dengan memberi bantuan seperti makanan, pakaian yang secukupnya kepada kabilah tersebut, sehinggalah Rasulullah s.a.w. berkata, "Bersedekahlah kamu walaupun sebiji buah tamar", kata kata Rasulullah itu memperlihatkan wajahnya kembali bersinar putih bersih tanda kegembiraan di atas sambutan oleh orang ramai itu, kemudian Rasulullah bersabda:


‘Sesiapa yang menyumbang ke arah pembangunan Islam akan satu sumbangan yang baik, maka baginya pahala di atas apa yang disumbangkan dan pahala sesiapa yang beramal dengan sumbangan tersebut dengan tidak mengurang sedikit pun pahala mereka, dan sesiapa yang menyumbang dalam Islam ke arah keburukan adalah baginya dosa dan dosa orang yang beramal dengannya selepas dari mereka, tanpa mengurang sedikit pun dosa mereka yang sedia ada.’ (Riwayat Muslim)


Pengajaran daripada hadis di atas dapat difahami bagaimana Rasulullah membuka jalan sebagai laluan kepada orang Islam untuk menolong saudaranya yang kesusahan dalam, kegawatan ekonomi, menghadapi situasi mengharungi arus kehidupan, serta membasmi kerniskinan dan kefakiran dengan apa sahaja yang mampu diberi sebagai tanda simpati serta menghulur bantuan sama ada makanan, pakaian ataupun wang ringgit.

No comments:

Sekalung Penghargaan