Sunday, March 18, 2012

18 Mar 1995

Salam ceria,
Terkenang aku pada 18 Mar 1995. Pada hari ini aku telah ditabalkan sebagai Raja Sehari.
Hari ini 18 Mar 2012 genaplah 17 tahun usia perkahwinan aku dengan isteri tercinta. Doa ku semoga aku kekal bahagia bersama anak isteri ku sehingga keakhir hayat ku.

Walau usia berbeza, namun usia perkahwinan adalah sama, segala dugaan, rintangan dihadapi bersama. Jadi bagi ku, usia kematangan dalam alam rumah tangga adalah sama.

Terima kasih isteriku, yang melahirkan zuriat ku yang nilainya tak terhingga. Seramai enam orang menjadi buah hatiku, tiga puteri, 3 putera...

Isteriku, sesungguhnya pengorbananmu tak ternilai oleh jiwa raga ku, kaulah cintaku dunia dan akhirat. Terima kasih sayang. Kaulah ibu kepada zuriat zuriat ku, kaulah teman yang paling memahami diriku serta anak anak ku.

Sayangku, sesungguhnya hanya kaulah yang satu bertahta didalam hati ini, tiada dua, tiada tiga dan tiada yang lain diantaranya. Ketaatan mu, kejujuranmu, keikhlasan serta kemesraan mu aku sanjung tinggi, setinggi cita cita ku seperti yang kau sedia tahu.

Sayang, kau lah segalanya.

Friday, March 16, 2012

Harta dan wang sebagai objektif utama dalam kehidupan??

MENGUMPUL dan memperbanyakkan harta, pangkat, kuasa dan pengaruh adalah salah satu sifat biasa manusia.

Kita sukakan harta disebabkan manfaat segera yang boleh dinikmati darinya sama ada harta tersebut dalam bentuk wang tunai atau juga aset seperti kenderaan, tanah, rumah, saham dan sebagainya.

Dalam pada itu, terlalu ramai manusia yang menjadikan harta dan wang sebagai objektif utama dalam kehidupannya.

Mungkin pada asalnya niat berkerja dan berusaha adalah untuk mencari kehidupan lebih berkualiti, namun dalam proses pencarian itu, ramai juga yang terpesona dengan kenikmatan segera dari harta ini, lantaran itu kehidupan mula berubah seiring dengan perbuatan mereka.

Harta yang dicari itu bukan lagi untuk membina kehidupan lebih baik dan berkualiti, sebaliknya untuk ditunjukkan secara bermegah-megah dengannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Memperbanyakkan (harta) dan bermegah-megah dengannya itu sesungguhnya telah melalaikan kamu, sehinggalah nanti kamu sampai ke kubur. (At-Takathur, 1-2)

Thursday, March 15, 2012

Terlepas daripada genggaman atau dakapan

Janganlah hanyut dalam duka nestapa berpanjangan terhadap apa yang terlepas daripada genggaman atau dakapan. Lihatlah di sekeliling kita, cerminlah diri sendiri andai kita tidak kenal siapa yang ada di dalam cermin itu, ada baiknya kita mulakan mencari diri sendiri!

Manusia yang mulia menyedari dengan sepenuh hati bahawa dia hanyalah hamba, benar-benar hamba, dalam pengertian hamba yang sebenar-benarnya, baik secara teori mahupun praktikal.

Dia hanya berfikir bagaimana memberikan yang terbaik untuk kehidupan ini, semata-mata mengharap cinta-Nya, keredhaan-Nya dan lebih daripada itu kerana dia mencintai Allah, terpesona kepada keindahan Maha Pencipta, mabuk kepayang dengan ‘kecantikan’ Maha Pemurah.

Andai keinginannya tidak selari dengan keinginan Allah, apa yang diharapkannya esok hari tidak akan menjadi nyata. Malah apa yang terjadi adalah sebaliknya, maka kita mesti ikhlas menerima semuanya dengan senyuman dan reda.

Kehidupan ini hanya untuk-Nya. Dialah tujuan hidup dan sebaik-baik tujuan hidup! Yang lain pula hanya wasilah, alat, bekal atau modal untuk mencapai keredaan Allah.

Maka janganlah tangisi apa yang bukan milikmu kerana ia memang bukan milikmu! Kita ini adalah sebenar-benar hamba! Moga kita lebih kuat dan dekat kepada-Nya.

Jom ubah sebelum parah

Berubahlah dengan memperbaiki diri sendiri. Membaiki diri bersungguh-sungguh dengan membersihkan hati daripada sifat keji kepada sifat terpuji.

Perhatikan juga siapa kawan di sekeliling kita. Adakah kawan kita itu mendorong ke arah kebaikan atau keburukan?

Jika kita dapat menewaskan nafsu jahat dalam diri sendiri, nescaya kemenangan hidup pasti berpihak kepada diri kita.

Proses berubah jadi baik mungkin tidak semudah disangka, namun sekiranya hati dan akal sudah bertekad dan ada kesungguhan, Allah pasti permudahkan jalannya.
Ruang untuk perbaiki diri sentiasa ada dan terbuka. Justeru, tepuk dada tanya diri. Mahu berubah atau tidak?

Wednesday, March 14, 2012

Tarikan wanita..nantikanya...

Di akhirat, wanita akan menarik empat jenis lelaki bersamanya ke dalam neraka.

1. Ayahnya
Apabila seseorang yg bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji & sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat…..tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.

2. Suaminya
Apabila si suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan muhrim apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak bertangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan turut ditarik oleh isterinya ke neraka.

3. Abang-abangnya
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya…..jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM …tunggulah tarikan adiknya ke neraka kelak.

4. Anak Lelakinya
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, bila ibu membuat kemungkaran pengumpat, mengata & sebagainya, maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Nantikan tarikan ibunya ke neraka.

Maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat, maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan masing-masing.

Artikel ini bukan untuk memperkecilkan wanita tetapi sebaliknya supaya kaum lelaki memainkan peranannya dengan hak & saksama berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah serta berwaspada akan tanggungjawab yang dipikul

Monday, March 12, 2012

Dilema yang dihadapi oleh kita pada zaman sekarang

Kadangkala setiap perkara yang baik tentu saja ada cabarannya.

Itu antara dilema yang dihadapi oleh kita pada zaman sekarang. Namun apa yang perlu sentiasa disemat dalam hati, bukan mudah mendapat syurga Allah. Apalah sangat cabaran kecil yang dihadapi jika hendak dibandingkan dengan umat Islam terdahulu ketika berusaha menyampaikan dakwah.

Mereka perlu turun ke medan perang, bersabung nyawa untuk memperluaskan syiar Islam di atas bumi ini, berbeza dengan kita yang mempunyai banyak pilihan.

Kita adalah umat terpilih yang Allah mudahkan jalan seluas-luasnya untuk ke syurga.

Cuma tinggal untuk memilih antara dua perkara, iaitu mahu atau tidak mahu.

Syarat utama dalam perjalanan kita menjadi Muslim

Ketika menyampaikan khutbah terakhir di padang Arafah, baginda bersabda: “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al-Quran dan sunnahku.” Begitu besar jaminan dijanjikan baginda kepada sesiapa yang mengikuti ajaran al-Quran dan sunnah. Mereka yang menghayati maksud hadis ini pasti meniti jalan keredaan Allah.

Bukankah setiap apa yang diwahyukan Allah, baik melalui al-Quran atau as-sunnah, dijamin kebenarannya? Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 2, bermaksud: “Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang keraguan padanya (mengenai datangnya daripada Allah dan kesempurnaannya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.” Marilah kita bersama mengamalkan keseluruhan sunnah dan ajaran Islam dalam kehidupan dengan tidak hanya mengamalkan sebahagiannya sahaja.

Itulah syarat utama dalam perjalanan kita menjadi Muslim yang tidak mencampurkan antara yang hak dan batil.

Firman Allah ( Al-Baqarah ayat 208) bermaksud: “Wahai orang-orang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan. Sesungguhnya Syaitan itu musuh kamu yang terang dan nyata.”

Kita secara tak langsung terbabit dalam perbuatan mungkar

Di sinilah letaknya hikmah perintah Allah SWT supaya kita melakukan ‘amar makruf nahi mungkar’. Dengan melakukan tugas itu, setidak-tidaknya kalau tidak berhasil mencegah kemungkaran dan maksiat, kita berjaya mengelakkan dosa bersubahat atau menyetujui pekerjaan mungkar.

Bersikap sambil lewa, acuh tidak acuh terhadap maksiat serta kemungkaran yang berlaku di depan mata, bererti kita secara tidak langsung sama-sama terbabit dalam perbuatan mungkar.

Sesungguhnya terlalu banyak kemaksiatan berlaku di seantero dunia, termasuk negara kita. Namun kerana kasih sayang Allah serta istimewanya kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW, Allah SWT masih memberi kita ruang, mudah-mudahan kita bermuhasabah.

Jadi ingatlah, secanggih mana teknologi infrastruktur dan walau setinggi mana bangunan mencakar langit mampu dibina, pasti lenyap sekelip mata apabila Allah menimpakan azab-Nya.

Sunday, March 11, 2012

Jangan sekali-kali meminta musibah

Sekalipun kita tahu betapa besarnya pahala orang yang sabar memperoleh ujian dan musibah, jangan sekali-kali meminta Allah memberikan kita musibah kerana ia bertentangan dengan agama Islam.

Rasulullah SAW yang mengetahui nikmat tersembunyi di sebalik musibah juga tetap memohon kepada Allah dalam doanya supaya dilindungi daripada bencana dunia dan akhirat.

Hadis riwayat Ibnu Majah dan Nasaie menyatakan bahawasanya: “Mintalah kamu semua kepada Allah akan kesihatan (keselamatan daripada musibah), kerana tidak seorang yang diberi kurnia oleh Allah yang lebih daripada itu, melainkan keyakinan.” Yang dimaksudkan dengan keyakinan (keimanan) ialah keselamatan hati daripada segala macam penyakitnya seperti bodoh atau gelisah. Ini kerana keselamatan hati lebih utama daripada keselamatan tubuh badan.


Menjadi kewajipan kita memelihara aib seseorang

Ramai daripada kita tidak menyedari perkara ini. Ada saja gosip mahu dikongsi bersama rakan atau jiran. Walaupun kadangkala apa digosip itu benar, tetap menjadi kewajipan kita memelihara aib seseorang.

Sebuah hadis menyatakan: “Siapa yang menutup aib seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan kelak di akhirat. Dan Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba- Nya itu menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim)

Semoga Allah menutup keaiban kita, terutama ketika di padang Mahsyar nanti.

Apa itu Istidraj?

Apa itu Istidraj? Istidraj adalah perkara luar biasa yang dikurniakan Allah kepada seseorang tetapi dengan tujuan mungkin Allah ingin membinasakannya. Selalunya mereka yang berjaya cemerlang tetapi ingkar dengan perintah Allah… hidup mereka tidak tenang dan tenteram.

Ilmu yang ada tidak memberi manfaat dan kebaikan dalam hidup mereka. Bahkan kebijaksanaan yang mereka dimiliki hanya merosak dan menyesatkan orang lain.

Akhir kalam, sentiasalah kita bermohon kepada-Nya ketika senang mahupun susah tanpa jemu. Bila doa kita akan dimakbulkan, bukan urusan kita. Itu urusan Allah.

Imam Al Qardawi pernah menyatakan hal ini iaitu: “Penerimaan Allah terhadap sesuatu doa ada syaratnya. Makbulnya doa ada jangkamasa dan ada waktunya tertentu. Allah SWT akan makbulkan doa orang pada waktu yang dikehendaki-Nya dan dengan cara yang dikehendaki-Nya.”

Saturday, March 10, 2012

Yang kecil tidak berapa dipedulikan

Harta, pangkat, kedudukan atau penampilan kalau tidak diiringi ketaatan pasti menyeksakan.

Syaitan adalah penjajah yang tidak pernah berputus asa. Dalam satu perisytiharan, menurut hadis Rasulullah, syaitan pernah berkata: “Demi kebesaran-Mu, aku bersumpah wahai Allah, aku tidak akan berpisah dengan anak Adam selagi nyawanya masih di badan.”

Bayangkan kesungguhan syaitan, isytihar perang dengan manusia jika kita masih main-main pasti akan mudah tertipu. Syaitan ibarat tukang joget atau penari.

Maknanya, syaitan tahu siapa sasarannya dan bagaimana untuk melakukannya. Kita memberikan tumpuan kepada yang nampak di mata, yang besar biasanya menjadi tumpuan, yang kecil tidak berapa dipedulikan.

Kita kadangkala lupa sesuatu yang tidak nampak itu sangat berharga. Iman kecil saja, tidak nampak lagi tapi sangat berharga. Jadi dalam hidup ini lihat dan utamakan pandangan Allah.

Ikhlas dan mengembalikan ketenteraman

Tiada ubat paling mujarab merawat penyakit hati melainkan dengan berlapang dada, memberi kemaafan secara ikhlas dan mengembalikan ketenteraman, ketenangan serta menambahkan khusyuk ketika beribadat.

Orang yang mudah memaafkan kesalahan orang lain, yakin dan percaya bahawa setiap keterlanjuran yang berlaku adalah ujian Allah. Mereka tidak terbelenggu dengan rasa marah berpanjangan. Pemaaf adalah mereka yang mulia di dunia dan akhirat.

Baik Lelaki Mahupun Perempuan, Tua dan Muda.

Antaranya sebagaimana maksud surah Al-Baqarah, ayat 238 yang bermaksud: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardu khasnya solat Wusta (solat Asar) dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk.” Solat lima waktu mesti dikerjakan setiap Muslim yang secukup syaratnya, baik lelaki mahupun perempuan, tua dan muda.

Tidak mampu berdiri kerana uzur, dikerjakan dalam keadaan duduk dan jika tidak mampu lagi, dalam keadaan baring, malah jika masih tidak mampu, solat dengan isyarat.

Penegasan ini menunjukkan solat adalah satu perkara besar, tidak boleh diringankan, jauh sekali meninggalkannya. Malah, solat juga syiar yang membezakan antara Muslim dan bukan Muslim.

Syiar Islam dengan sendirinya terpancar apabila umat Islam mengerjakan solat, lebih-lebih lagi dengan solat berjemaah di masjid.

Tiada siapa mampu mengawal kejahatan dalam diri kita selain diri sendiri yang ‘mentarbiah’ dan menundukkannya.

Tidak syak lagi, cara terbaik untuk menghindarkan diri daripada melakukan maksiat adalah dengan mengerjakan solat.

Sekalung Penghargaan