Tuesday, December 13, 2011

YDPA ke 14, Giliran Sultan Kedah

Pelantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong ke-14 merupakan satu penghormatan bersejarah bagi kali kedua dan menjadi satu kebanggaan kepada Kerajaan Negeri dan juga rakyat.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri DiRaja Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, bagi memastikan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan negeri Kedah yang tercinta, beliau dan juga kepimpinan negeri, anggota-anggota perkhidmatan awam serta rakyat berikrar dengan penuh taat setia mencurahkan tenaga dan fikiran bagi menjamin kestabilan dan keharmonian negeri ini terus terjamin.

“Patik serta rakyat berdoa agar KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah sentiasa dilimpahi rahmat, dipanjangkan usia, sihat sejahtera serta memerintah dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan keamanan di atas takhta singgahsana Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis Istiadat Pelantikan Jemaah Pemangku Sultan di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, di sini.

Menurutnya, agenda Kerajaan Negeri ialah bagi menjamin kebajikan rakyat terus didokong, hubungan baik Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan akan terus dijaga serta mengekalkan perpaduan antara pelbagai kaum di kalangan rakyat di negeri ini.

Menteri Besar memberitahu, pastinya, pesanan serta pandangan KDYMM Tuanku Sultan Kedah selama ini yang sentiasa memberi pandangan yang konstruktif, memberi galakan dan tunjuk ajar kepada Kerajaan Negeri bagi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat sekalian serta menekankan supaya keadilan, keamanan terus ditegakkan di negeri Kedah yang dicintai, menjadi suntikan serta panduan bagi patik mengemudikan pentadbiran negeri.

“Patik sekali lagi dengan penuh hormat dan takzimnya melafazkan persembahan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah atas pelantikan sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong ke-14,” tambahnya.

Sumber : Portal Kedah

No comments:

Sekalung Penghargaan