Thursday, March 15, 2012

Terlepas daripada genggaman atau dakapan

Janganlah hanyut dalam duka nestapa berpanjangan terhadap apa yang terlepas daripada genggaman atau dakapan. Lihatlah di sekeliling kita, cerminlah diri sendiri andai kita tidak kenal siapa yang ada di dalam cermin itu, ada baiknya kita mulakan mencari diri sendiri!

Manusia yang mulia menyedari dengan sepenuh hati bahawa dia hanyalah hamba, benar-benar hamba, dalam pengertian hamba yang sebenar-benarnya, baik secara teori mahupun praktikal.

Dia hanya berfikir bagaimana memberikan yang terbaik untuk kehidupan ini, semata-mata mengharap cinta-Nya, keredhaan-Nya dan lebih daripada itu kerana dia mencintai Allah, terpesona kepada keindahan Maha Pencipta, mabuk kepayang dengan ‘kecantikan’ Maha Pemurah.

Andai keinginannya tidak selari dengan keinginan Allah, apa yang diharapkannya esok hari tidak akan menjadi nyata. Malah apa yang terjadi adalah sebaliknya, maka kita mesti ikhlas menerima semuanya dengan senyuman dan reda.

Kehidupan ini hanya untuk-Nya. Dialah tujuan hidup dan sebaik-baik tujuan hidup! Yang lain pula hanya wasilah, alat, bekal atau modal untuk mencapai keredaan Allah.

Maka janganlah tangisi apa yang bukan milikmu kerana ia memang bukan milikmu! Kita ini adalah sebenar-benar hamba! Moga kita lebih kuat dan dekat kepada-Nya.

No comments:

Sekalung Penghargaan